Thursday, June 12, 2008

Isu MPH=Berita=5 Jun 2008=Pakar perubatan kesihatan dipinggir

Pakar perubatan kesihatan dipinggir

ISU pakar perubatan kesihatan awam sering diketengahkan melalui akhbar selain diajukan kepada Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi sehingga kini tiada tindakan susulan diambil. Bermula 2004, isu pakar perubatan kesihatan awam sudah mula dipinggirkan dari segi pengiktirafan kepakaran, penempatan dan juga kenaikan pangkat. Seperti pakar perubatan lain, pakar perubatan kesihatan awam perlu menghabiskan empat tahun tempoh pengajian di mana-mana universiti melalui sesi pembelajaran, penempatan untuk latihan, menyiapkan tesis dan menghadapi peperiksaan setiap tiga bulan selain peperiksaan tahunan. Tetapi, apabila berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana, kami hanya layak menerima 80 peratus elaun pakar iaitu insentif pakar kesihatan awam. Persoalannya, kenapakah tidak diberi 100 peratus seperti pakar lain? Adakah kami bukan pakar? Jika ada masalah dari segi silibus pengajian peringkat sarjana, ia perlu diubah dan dibincangkan. Umum mengetahui skop kerja pakar perubatan kesihatan awam berbeza dengan pakar klinikal lain dan skop kami lebih kepada penggalakan, mencegah dan pemulihan. Tanpa kesihatan awam, saya menjangkakan beban hospital bertambah dengan kemasukan lebih ramai pesakit. Bermula 2005 hingga sekarang, kenaikan pangkat pakar perubatan kesihatan awam juga terbantut. Saya merujuk kepada diri yang sudah berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan selama 11 tahun dan memulakan kerjaya sebagai pakar perubatan kesihatan awam sejak 2005. Saya sekarang memangku U44 sejak dua tahun lalu tanpa disahkan dalam gred U44 dan kenaikan pangkat ke gred U48 nampaknya masih kabur. Ini terbukti dengan pengakuan, alasan dan penerangan yang dikeluarkan status kenaikan pangkat, alasan diberi masih dalam proses atau sedang
dikemas kini. Saya merayu semua pihak yang bertanggungjawab supaya melayan kakitangan awam secara adil dan sama rata. Menafikan hak pegawai profesional untuk peluang kenaikan pangkat akan menyebabkan terbantutnya sistem perkhidmatan awam.

DR ROSMAH,
Pakar Perubatan Kesihatan Awam.

No comments: