Thursday, June 12, 2008

Isu MPH=Lagi Surat Kepada PM

YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi,
Perdana Menteri Malaysia

YAB Dato’ Seri,

DISKRIMINASI PENGIKTIRAFAN DAN KENAIKAN PANGKAT PAKAR PERUBATAN KESIHATAN AWAM

Adalah dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Pakar Perubatan Kesihatan Awam merupakan tonggak penting dalam perancangan, pencegahan dan kawalan penyakit. Untuk mendapatkan kepakaran ini, mereka terpaksa memperuntukkan masa belajar sepenuh masa selama 4 tahun termasuk menghadapi peperiksaan, menjalankan tesis dan menyelesaikan penempatan wajib di tempat yang telah ditentukan. Ini memerlukan pengorbanan yang besar dari segi masa, tenaga dan wang sama ada di pihak individu atau pun di pihak kerjaaan. Justeru itu, adalah diharapkan agar kepakaran bidang Kesihatan Awam diiktiraf sebagaimana pengiktirafan yang diberi kepada pakar-pakar yang lain (rujukan JPA(L)130/2/5.Klt.2(88) bertarikh 21/06/2000).

3. Adalah diharapkan agar YAB Dato’ Seri dapat menyelami dan menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh semua Pakar Perubatan Kesihatan Awam iaitu:

i. Pakar Perubatan Kesihatan Awam dipinggirkan dan dinafikan dalam urusan kenaikan pangkat dan pengiktirafan pakar berbanding dengan kepakaran lain. Sehingga kini, terdapat ramai Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang telah berkhidmat dengan kerajaan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melebihi sepuluh tahun tetapi masih di Gred UD41 termasuk beberapa yang memangku UD44 selama hampir 2 tahun tanpa pengesahan. Sedangkan telah ramai pegawai perubatan tanpa pakar dan tempoh perkhidmatan kurang dari 10 tahun telah pun dinaikkan pangkat ke Gred U48. Surat-surat iklan edaran kenaikan pangkat yang diedarkan dari KKM juga telah menafikan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dengan meletakkan KECUALI Pakar Perubatan Kesihatan Awam.

ii. Cadangan urusan kenaikan pangkat Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang dilakukan oleh bahagian Sumber Manusia, KKM sekarang ini mencadangkan nama-nama Pakar Perubatan Kesihatan Awam untuk kenaikan pangkat bersama-sama dengan jawatan pegawai perubatan tanpa pakar. Ini menyebabkan kenaikan pangkat Pakar Perubatan Kesihatan Awam tertangguh sejak dari awal 2007 hingga sekarang.

iii. Urusan kenaikan pangkat melalui penilaian berasaskan PTK-CPD yang telah dibentangkan oleh Bahagian Pembangunan Kompetensi KKM menafikan Pakar Perubatan Kesihatan Awam menikmati keistimewaan yang sama seperti pakar perubatan klinikal. Pakar Perubatan Kesihatan Awam dinafikan kenaikan pangkat ke Gred UD48 bagi mereka yang tamat menjalani pengajian di peringkat sarjana.

iv. Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang telah menamatkan kursus sarjana 4 tahun sebenarnya adalah golongan yang menjadi BAHAN KAJIAN apabila tidak diiktiraf.

4. Keprihatinan dan komitment berterusan YAB Dato’ Seri amatlah diharapkan agar mutu dan tahap kesihatan masyarakat Malaysia dapat dipertingkatkan seperti apa yang diucapkan oleh YAB Dato Seri’ dan disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan bertarikh 15 Jun 2007, “Baiki Mutu Kesihatan Awam – Negara-Negara OIC Perlu Tingkat Kerjasama” dan “Perkasakan Kesihatan Awam”.

Sekian, terima kasih.

No comments: